Saturday, June 22, 2013

Kaedah Talaqqi Musyafahah

Kaedah Talaqqi Musyafahah ialah kaedah mempelajari bacaaan al-Quran yang tertua iaitu berdepan secara langsung di antara guru dengan murid seperti mana yang dipraktikkan oleh Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. Hal ini jelas melalui peristiwa di Gua Hira’ ketika al-Quran mula-mula diturunkan kepada Rasullullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Dalam peristiwa itu, Jibril membaca terlebih dahulu bacaan ayat suci al-Quran dan didengari oleh Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w. meniru bacaan tersebut dengan diperhatikan oleh Jibril. Setelah itu Rasulullah s.a.w terus menghafal ayat berkenan dan seterusnya membacakan kepada para sahabat. Para sahabat pula meniru bacaan Rasulullah s.a.w. Bacaan tersebut juga dituliskan dan seterusnya tulisan itu dibacakan dan dihafalkan.
            Talaqqi pada bahasa bermaksud pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Manakala menurut istilah, ialah pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka. Lebih mudah ialah, guru membacakan sepotong ayat kepada sekumpulan murid dan kemudian murid mengikut bacaan guru secara berhadapan dengan guru beramai-ramai. Kaedah ini juga dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dengan malaikat Jibril sekali dalam setahun, dan pada di akhir hayatnya baginda melakukannya 2 kali dalam setahun.
Manakala, musyafahah pula bermaksud sebutan daripada mulut ke mulut yang diambil dari pergerakan dua bibir dan pada istilah bermaksud murid menerima pengajaran melalui sebutan guru, melihat pergerakan bibir guru dan menyebutnya mengikut guru. Sebagai contoh, seorang guru membaca sepotong ayat kepada seorang murid, dan kemudiannya murid itu mengikut contoh bacaan guru secara individu.
Di dalam musyafahah terdapat dua cara yang lazim digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran membaca al-Quran. Pertama adalah dengan cara guru membacakan ayat di hadapan murid dan didengari murid sahaja. Cara ini disebut al-Mutaqaddimin.[1] Manakala cara kedua pula, murid membaca di hadapan guru dan guru hanya menyemak serta membetulkan mana-mana bacaan yang salah. Cara ini sering disebut sebagai cara al-Mutaakhirin.
Dalam kaedah talaqqi musyafahah, murid yang mempelajari al-Quran mesti berhadapan secara langsung kepada gurunya. Hal ini kerana, setiap guru al-Quran atau salasilah guru al-Quran sanadnya adalah bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w. Di sinilah terletaknya kepentingan berguru di dalam membaca al-Quran secara talaqqi musyafahah iaitu langsung dari mulut ke mulut dengan bersemuka secara langsung.
Seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. menyuruhku agar membacakan al-Quran kepadamu. Jawab Ubay, “Allah memilihku dan menyebut namaku di sisimu? Jawab Nabi s.a.w., “Allah s.w.t. telah memilih dan menamakan kamu disisiku.” Maka Ubay pun menangis.

            Selain itu, beberapa dalil dari al-Quran yang membuktikan bahawa kaedah talaqqi musyafahah telah diamalkan sejak zaman kerasulan nabi Muhammad s.a.w. lagi hingga ke zaman moden ini. Antaranya ialah firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran,

(Surah al-Qiyamah: Ayat 16-18)
Maksudnya: Janganlah Engkau (Wahai Muhammad) - kerana hendakkan cepat menghafaz Quran Yang diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;

Dalam Surah al-Isra’ juga, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 106;
Maksudnya: Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada manusia Dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.

Faktor ini juga sangat ditekankan supaya murid mengetahui secara amali dengan betul bagaimana perlaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan yang meliputi makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan lain-lain hukum tajwid. Menurut Ibnu al-Jazairi yang dinamakan muqri’ adalah orang yang mengetahui ilmu-ilmu al-Quran secara musyafahah iaitu pengambilan pembelajaran dari mulut ke mulut. Seseorang itu tidak akan dinamakan muqri’ selagi mana tidak bertalaqqi ataupun bermusyafahah sekalipun merupakan seorang yang sangat alim dan telah menghafal al-Syatibi. Kesimpulannya, talaqqi dan musyafahah adalah syarat utama bagi kesahihan dan diterima pakai sebagai seorang guru al-Quran yang baik.[2]     
Kaedah talaqqi musyafahah ini asasnya mengutamakan sebutan dan bacaan yang tepat dari segi makhraj dan sifat huruf serta bacaan kalimah. Hal ini adalah melalui pemerhatian pergerakan mulut guru secara berdepan atau bersemuka dengan murid. Kemudian, murid mestilah menyebut atau mengikut cara sebutan guru sepertimana yang ditunjukkan oleh guru tersebut dan perkara yang perlu dititik beratkan semasa menggunakan kaedah talaqqi musyafahah adalah, kelemahan contoh bacaan daripada guru memberi kesan besar kepada murid. Hal ini kerana, murid akan mengikuti dan mencontohi bacaan guru dalam amalannya.
Kaedah ini bertujuan adalah untuk memudahkan murid menyebut dan membunyikan huruf hijaiyah yang berbaris dengan tepat. Selain itu, murid juga dapat membezakan bacaan panjang atau pendek sebutan huruf dan membaca dengan betul dan fasih sepertimana guru yang bertindak sebagai seorang mursyid. Bahkan kaedah ini juga secara tidak langsung dapat memupuk sifat dalam diri pelajar supaya yakin dan berani mencuba di hadapan guru.
Ciri-ciri kaedah talaqqi musyafahah yang utama ialah ianya disampaikan secara individu dan kumpulan. Pembimbing juga perlu menguasai kemahiran yang baik agar input yang disampaikan kepada murid adalah benar kerana murid-murid akan menambil maklumat terus dari guru. Selain itu, ciri kaedah talaqqi musyafahah juga adalah memerlukan penglibatan murid yang aktif. Pembelajaran dan pengajaran boleh dijalankan dalam kelas atau di luar kelas, serta teks perlulah ada samada naskah al-Quran, muqaddam ataupun teks-teks lain.
Langkah-langkah dalam pembelajaran dan pengajaran kaedah talaqqi musyafahah ini bermula apabila para guru mencungkil pengetahuan dan kemahiran sedia ada dari murid. Kemudian, sekiranya terdapat kesalahan, guru akan membuat pembetulan dan penerangan dari perkataan dan ayat yang dibaca serta boleh memperdengarkan bacaan contohnya melalui kaset atau bacaan guru. Guru juga boleh merakamkan bacaan pelajar dalam pita rakaman dan memperdengarkan semula bacaan pelajar dan berbincang bagaimana untuk membuat penambah baikkan dalam bacaan.
Kemudian, guru mengaitkan bacaan contoh dengan tajuk di papan tulis dan menggunakan kaedah Talaqqi dan Musyafahah dalam pembelajaran dan pengajaran dengan cara guru membaca, murid mengikut. Setelah itu, guru membahagikan dan membentuk kumpulan murid berdasarkan kemahiran membaca. Mereka mendengar bacaan guru dan mempraktikkan bacaan tersebut dalam kumpulan dengan bimbingan naqib di bawah pengawasan guru.
Melalui kaedah talaqqi musyafahah juga, murid secara tidak langsung diajar mengenali hukum-hukum tajwid di dalam ayat yang dibaca seperti hukum nun dan mim yang bertasydid, mad asli dan sebagainya. Guru juga menerangkan hukum tajwid bagi kalimah-kalimah tertentu melalui kad imbasan dan menulis di papan tulis untuk memudahkan lagi murid untuk memahi. Sekiranya, murid itu berada pada tahap pemulihan, guru juga boleh mengajarkan dengan cara mempamerkan carta ayat al-Quran samada ditulis di papan gulung, manila kad atau sebagainya. Pemulihan juga boleh dilakukan secara latihan mengeja dan menyebut setiap patah perkataan oleh guru atau murid turus.
Pada peringkat penilaian, guru meminta seorang atau dua orang murid membaca beberapa ayat dan guru menyoal murid beberapa hukum tajwid yang terdapat di dalam ayat tersebut. Melalui jawapan yang diberikan oleh murid, guru boleh menilai sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari itu berjaya atau pun tidak. Sebagai aktiviti susulan, murid dikehendaki membaca di rumah ayat-ayat yang tidak sempat dibaca di kelas dan akan diminta membaca semula pada minggu berikutnya.




1 comment:

  1. assalam, ustzh boleh sy tahu sumber yg ustzh rujuk.. sy nak cari sumner dri kitab2.. tq

    ReplyDelete